Bakteria berguna yang dipakai dalam penghasilan kompos iaitu EM atau bakteria setempat IMO mengandungi beberapa siri bakteria. Bakteria-bakteria ini wujud bersama-sama, setiap satu mempunyai fungsi tersendiri dan bergantung antara satu sama lain. Dalam pos-pos yang lepas, saya banyak membincangkan tentang faedah EM. Kali ini kita cuba mengenali apakah EM dan komponen-komponennya.
EM boleh dikelaskan kepada 4 kategori yang besar iaitu kumpulan bakteria fotosintetik, bakteria asid laktik, actinomycetes dan yis [1]. Pengelasan ini yang paling mudah difahami dan konsep umum. Bakteria fotosintetik adalah bakteria yang memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanannya. Ada banyak bakteria dalam kelas ini, contohnya Chromatrium sp., Chlorotium sp., R. sphaeroldes dan Rhodobacter. Kumpulan ini bertanggungjawab menghasilkan asid amino, asid neukleik, mengikat nitrogen dari udara dan menukarkan gas-gas beracun seperti gas ammonia dan gas hidrogen sulfida kepada unsur nitrogen yang dapat digunakan oleh tumbuhan.
Bakteria asid laktik berfungsi untuk mempercepatkan penguraian dan proses penapaian bahan organik. Penghasilan asid laktik oleh bakteria ini mempercepat penguraian lignin dan selulosa yang merupakan struktur kompleks karbohidrat. Contohnya L. casei, L. plantarium, Streptococus laktis dan Psedococus sp. Asid laktik akan menekan pertumbuhan patogen dan mengurangkan populasinya.
Actinomycetes merupakan mikroorganisma yang suka tolong menolong. Ia selalunya akan wujud bersama bakteria fotosintetik. Seperti jiran-jiran yang baik, actinomycetes akan menggunakan asid amino yang dihasilkan oleh bakteria fotosintetik tadi untuk menghasilkan satu bahan antikuman. Contoh : Micromonospora sp., Nakarda sp., Propinis bakterium sp., Streptomyces albus dan S. griscus.
Kumpulan terakhir ialah yis. Contohnya Canerda c. utilis, S. cerevisiae dan Sacharomyces. Yis menghasilkan substrat / bahan makanan untuk bakteria asid laktik dan actinomycetes, hormon, enzim dan bahan antibiotik.
Pun begitu, terdapat juga kumpulan cendawan penapaian dalam EM tadi. Cendawan ini mempercepatkan penguraian bahan organik, menghasilkan sejenis antimikrob daripada ester alkohol, menghilangkan bau busuk serta mencegah serangga dan ulat perosak. Contohnya Aspergillus oryzae, A. niger, Muchorhiermalis penicillium.
Rujukan:
[1] Circle Field Sdn Bhd, Klang (2007)
SENARIO DI MALAYSIA RAYA
Di Malaysia, syarikat yang bertanggungjawab mengkultur dan mengedarkan EM dari Jepun ini adalah JAMOS. Baru-baru ini timbul isu EM ini dikatakan diperbuat daripada sumber yang najis dan tidak halal seperti arak dan kompos najis khinzir. Lebih tidak enak lagi apabila ada individu yang mengaitkan saya dalam kenyataan tadi. Suka saya terangkan di sini perkara yang sebenar untuk memberikan gambaran yang betul tentang isu ini.
Saya telah bertemu dengan jurutera EM JAMOS, Encik Hishamuddin bin Md Kaderi pada satu kursus aplikasi EM tidak lama dahulu. Encik Hishamuddin juga merupakan Pengarah Tekanikal Circle Field (CF) Sdn Bhd beribu pejabat di Ampang, Selangor. Beliau memberi jaminan EM yang diambilnya daripada Jepun ini halal, suci dan tidak mengandungi unsur-unsur najis. EM tersebut diperbuat daripada biji soya dan tumbuh-tumbuhan.
Pengkulturan di kilang dipantau oleh jurutera-jurutera tempatan dan Jepun untuk memastikan kualiti yang seragam dan terjamin. Malahan saya juga diberitahu oleh Encik Hisham bin Johar, salah seorang Pengarah CF bahawa beliau minum larutan EM tersebut untuk membuang lemak, serta keluarganya juga mengamalkan meminum EM ini. Maka tidak timbul isu haram dan najis, malah sudah ditanggung halalnya oleh Encik Hisham sendiri.
ISU BAJA ORGANIK TIDAK HALAL
Isu baja EM dari sumber tidak halal di pasaran bukan perkara baru, malah di perkatakan dari mulut ke mulut. Yang menjadi kegusaran pengguna Islam di negara kita apabila kita tidak dapat memastikan kesucian sumber baja, memandangkan baja import organik yang diperbuat dari kompos najis haiwan dikatakan ada yang merupakan najis khinzir. Sejauh mana benar dakwaan ini tidak dapat saya buktikan. Atas isu inilah, pengusaha baja organik tempatan mencari inisiatif untuk memformulasikan produk tempatan yang halal, suci dan selamat seperti produk ALFA-G.
EM yang dibuat daripada alkohol, tuak dan arak bagi saya tidak menjadi masalah, selagi tidak digunakan sebagai barang makan. Akhirnya EM ini akan dicurah ke atas najis haiwan untuk dijadikan kompos juga. EM yang dibuat sendiri maka si pembuat itu lebih arif tentang kehalalannya. Pak guru organik saya, Pak Lias belum pernah bercerita dia minum larutan ekstrak EM buatannya. Tetapi beliau menyimpan, memelihara dan menggunakan larutan yang sama untuk membuat baja selama 3 tahun.
VINNY PINTO- JURUTERA EM
Vinny Pinto, seorang jurutera EM mat saleh yang bekerja di India memberi komen, sesetengah negara eropah dan asia amat skeptik dan takut dengan ‘mikrob asing’ atau EM. Yang menjadikan saya terperanjat ialah apabila beliau mengatakan ketakutan ini sangat ketara terutamanya di Malaysia.
Pada permulaan saya kurang percaya dakwaan Pinto tentang rakyat Malaysia, tetapi setelah diajukan soalan ini oleh seorang forumer di www.bicarajutawan.com, saya rasa secara umum dakwaan Pinto berasas.
SEBENARNYA..
Pinto menjernihkan kekeliruan ini, beliau menyatakan bakteria wujud di mana-mana pun, zaman berzaman sudah tersebar seantero dunia melalui laut, angin, serangga, ikan, glasier, kereta, trak, kontena. Yang tidak mudah tersebar adalah bakteria yang hidup dalam keadaan ekstrem, suhu terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, bakteria yang hidup 3 kaki di bawah lapisan ais Artik. Ho..jauh tu, memang tidak tersebar. Saya juga sependapat dengan Pinto, dakwaan bahawa EM import ini merbahaya kurang tepat kerana EM tidak merbahaya kepada ekosistem kita malah merupakan sebahagian daripada ekosistem.
EM- HAKCIPTA TERPELIHARA
EM sebenarnya satu istilah yang sudah menjadi hak cipta kepada Dr Teruo Higa, seorang profesor hotikultur dari Universiti Kyusei, Jepun dan syarikatnya yang memasarkan EM ke seluruh dunia iaitu EMRO. Dr Higa sudah menjalankan penyelidikan EM hampir 16 tahun sebelum melihat peluang meniagakan EM yang tidak dilihat oleh orang lain seluruh dunia. Maka Dr Higa bertindak bijak dengan mem’pattern’kan EM, mencari agensi pemasaran dan meletup-letup di pasaran antarabangsa.
MENGELILINGI DUNIA
Larutan EM1 (EM tulen) ini dipasarkan ke India untuk penggunaan kawalan kumbahan dan sungai, ke Hawaii untuk pertanian dan projek-projek sekolah, ke Malaysia untuk pertanian dan penternakan, ke US untuk pertanian organik, penternakan dan produk-produk hiliran seperti pembersihan air, baja, nyahbau kegunaan rumah, industri dan perhotelan.
MANA LEBIH BERKESAN?
Ada perdebatan tentang yang mana lebih efektif, IMO atau EM. Mungkin isu ini timbul apabila pengguna membandingkan harga EM dengan IMO kerana EM harganya lebih mahal dan IMO adalah lebih murah. Juga faktor kualiti, samada mutu IMO yang dihasilkan sendiri setanding EM yang dibeli atau mutunya berubah-ubah.
EM tulen atau dipanggil EM1 merupakan barangan import yang diakui selamat digunakan dalam negara kita. Malah EM ini telah pun digunakan di negara-negara serantau dan seluruh dunia. Ia bukan merupakan produk baru, tetapi teknologi purba yang mendapat nafas baru dalam arena perniagaan dan demi kelestarian pertanian.
MENGAPA HARGA BERBEZA?
Harga EM lebih mahal dari IMO kerana EM barangan import. Ia dihasilkan melalui pengkulturan, kualiti dipantau oleh jurutera, mengalami pembungkusan, pengangkutan, pengambilan keuntungan dan royalti hak cipta, pengedar sebelum sampai kepada pengguna. Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, harganya lebih sedikit dari bakteria setempat yang dijual oleh pengusaha tempatan.
EM yang saya beli tempohari adalah mycellium, bakteria anaerobik dari gunung berapi. Ia hidup pada suhu tinggi 65 darjah Celsius. IMO pula bakteria-bakteria setempat dari tanah sekeliling kita, ia hidup suhu tanah yang biasa dalam 25degC. Kedua-dua jenis ini tidak boleh hidup bersama, kerana suhu persekitaran yang tidak sama. Penapaian EM volkanik akan membunuh bakteria setempat.
INISIATIF ANAK TEMPATAN
Pengusaha baja tempatan sudah lama menyedari kepentingan IMO ini. Ia merupakan ilmu warisan kaum petani, dimana kaum petani membuat baja kompos dahulu kala. Mereka akan mengorek tanah seluas kira-kira satu lot parking space, menabur satu lapisan tahi kambing, satu lapisan kapur, satu lapisan tanah dan mengulanginya untuk beberapa lapisan yang difikirkan perlu. Kompos tersebut dibiarkan reput untuk sebulan. Ini penggunaan IMO.
Zaman sekarang, dengan asimilasi teknologi pertanian dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Taiwan dan Jepun yang mahir dalam pertanian lestari, pengusaha tempatan sudah mula memasarkan bakteria setempat dan teknik-teknik memaksimumkan hasil tanaman menggunakannya. Usaha ini memerlukan kajian berterusan, iltizam dan pak guru. Melalui pembikinan yang berulang-ulang dan pengalaman, barulah kita dapat menentukan dengan mudah peringkat mutu produk yang kita hasilkan.
Memandangkan IMO ini produk tempatan, kebanyakannya lebih murah daripada Em. Warna larutannya keputih-putihan, ada juga keperang-perangan, baunya masam-masam manis dan agak likat. Terdapat juga pendapat yang mengatakan mikrob menjadi berguna jika ia suka pada tempat yang diletakkan. Oleh sebab itulah mereka mengesyorkan supaya menggunakan IMO daripada EM. IMO dan Em, akan makan benda yang sama, jika ada makanannya, adalah aktiviti metabolismanya.
Ada juga pendapat lain mengatakan IMO tak begitu efektif jika proses penapaiannya tidak betul. Itu betul, jika penapaian tidak sempurna atau dicemari, maka bakteria baik tidak berjaya dihasilkan. Pembikinan kedua-duanya tidak sukar, malah tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi. Ia merupakan bakteria yang lasak dan sangat suka persekitaran yang normal.
Cara untuk menyemai anak benih:
- 2 helai surat khabar di rendam dalam besen berisi air (2-3jam)
- Isikan biji benih ke dalam sebuah cawan. Tuang air sehingga memenuhi ¾ cawan tersebut. Tambahkan 1 sudu garam.
- Biarkan biji benih selama 15 minit untuk membunuh kuman.
- Toskan. Tebarkan surat khabar yang lembap itu, tabur biji benih ke atas permukaan salah satu helaiannya. Tutup dan gulung.
- Simpan dalam plastic lutsinar (beg plastik)
- Tiup dengan nafas sehingga plastic kembung.
- Ikat dengan kemas dan jemur di bawah matahari. Plastik sedia untuk di buka selepas 36jam.
- Selepas 36 jam, buka plastic dan kelurkan anak benih, masukkan dalam tray anak semaian.
- Gulung semula surat khabar dan ulangi langkah 5 ke langkah 8 untuk biji benih yang belum bercambah