| Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin Pegawai Penyelidik 11/09/2009 | Artikel Bahasa Malaysia | 
| Penggunaan  Bioteknologi EM (Effective Microorganism) atau bakteria baik dalam  pengurusan alam sekitar merupakan satu langkah wajar dan perlu  diperluaskan lagi agar usaha kerajaan untuk memastikan mutu dan kualiti  alam sekitar yang kian tenat pada hari ini dapat dipulihkan terutamanya  dalam merawat dan menghidupkan kembali sungai-sungai mati dan tercemar  di seluruh Malaysia. Bioteknologi EM merupakan kaedah yang mula  diperkenalkan dan dibangunkan oleh Prof. Teruo Higa dari Universiti  Ryukyus, Okinawa, Jepun sejak 25 tahun yang lalu yang terdiri daripada  tiga jenis mikroorganisma utama iaitu Bakteria Asid Laktik, Bakteria  Fototrofik dan Yis.  EM adalah campuran kumpulan bakteria semulajadi  yang terdapat pada komponen alam yang dihasilkan melalui proses  penapaian semulajadi yang terkawal. Ia adalah gabungan bakteria-bakteria  yang berperanan sendiri yang seterusnya membentuk kerjasama antara satu  sama lain dan apabila diaplikasikan terhadap alam, ia akan memberi  kesan dan manfaat yang menakjubkan ke atas alam sekitar, ekosistem dan  juga kehidupan. Bioteknologi EM tidak melibatkan pengubahsuaian dari  segi genetik mahupun kimia. Ia selamat digunakan dan telah diaplikasikan  di lebih 120 buah negara di seluruh dunia. Pada hari ini, bioteknologi  EM telah dihasilkan sendiri di 54 buah negara dan digunakan secara  meluas dalam pelbagai bidang seperti pertanian, penternakan, pengurusan  alam sekitar dan sebagainya. Aplikasi terhadap penggunaan bioteknologi  EM adalah khusus bergantung kepada keadaan dan perawatan yang tertentu.  Ia merupakan benda hidup. Justeru, proses pengaktifan dan  pengaplikasiannya adalah fasa terpenting dalam menentukan tahap  keberkesanan penggunaannya secara menyeluruh. Kaedah ini sekaligus dapat meningkatkan tahap kecekapan pengambilan nutrien sungai dan menambahkan lagi mikrobiologi persekitaran air yang seterusnya secara tidak langsung dapat memelihara dan membantu ke arah persekitaran air yang lebih sihat. Selain dapat memperbaiki kualiti dan persekitaran air sungai, bioteknologi EM yang digunakan dalam rawatan air juga dapat membantu mengurangkan mendapan dan ammonia, serta dapat meningkatkan kebolehlarutan oksigen dan turbiditi. Malah, rawatan terhadap takungan sungai dengan menggunakan kaedah bioteknologi EM turut dapat membantu meneutralkan air sungai, di mana ia bertindak sebagai klorinator semulajadi dan membantu menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air. Persekitaran EM yang wujud di dalam sungai akan mengurangkan tekanan terhadap hidupan-hidupan akuatik yang menghuninya yang merupakan salah satu faktor penting yang perlu dititikberatkan agar kelangsungan hidup haiwan-haiwan akuatik tersebut terus terpelihara untuk manfaat bersama. Dengan pengaplikasian kaedah ini secara berkala dan berterusan ke atas sungai-sungai yang tercemar, ia dapat menstabilkan mikroflora di dalam air yang seterusnya dapat mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni dan mesra alam. Di Malaysia, kaedah bioteknologi EM telah dilaksanakan di beberapa buah negeri dan keberkesanannya telah terbukti dan menampakkan hasil yang positif. Antara salah satu negeri yang telah melaksanakan kaedah tersebut ialah kerajaan negeri Johor yang mana perlaksanaannya ialah sejak tiga tahun yang lalu bagi merawat tiga batang sungai yang tercemar teruk iaitu Sungai Segget dan sungai Stulang di Johor Bharu serta sungai Kiri di Batu Pahat. Sungai-sungai tersebut yang dahulunya telah ‘mati' hampir 20 tahun, tetapi kini telah kembali pulih dan ‘hidup' selepas langkah pembersihannya dengan menggunakan kaedah bioteknologi EM. Malah, bau busuk akibat mendapan sisa kotoran yang terdapat pada sungai-sungai tersebut juga telah dapat diatasi. Walaupun kesan penggunaan bioteknologi EM tidak dapat dilihat serta merta, namun mikroorganisma tersebut mampu menguraikankan semula mendapan yang wujud di dasar sungai dalam tempoh masa yang tertentu dan ia bertindak dari masa ke semasa dalam memulihkan sesebuah sungai yang tercemar teruk. Bagaimanakah kaedah bioteknologi EM ini bertindak dan diaplikasikan sebagai bahan pemusnah yang amat berkesan kepada pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya dalam pengurusan dan pemuliharaan sungai dan takungan-takungan air? Sebenarnya tidak sukar untuk bioteknologi EM ini diaplikasikan. Kaedah mudah ia diaplikasikan ialah dengan menempatkan bebola lumpur (yang diperbuat daripada tanah liat yang dicampur dengan cecair EM, bahan-bahan organik dan mineral) ke dalam sungai-sungai yang tercemar untuk proses pemulihan. Bebola lumpur diformulakan adalah untuk kesesuaian kes atau persekitaran, di mana ia mudah dilontar dan tenggelam di dalam air serta bertindak secara perlahan-lahan dari dasar air yang bertujuan untuk memecahkan molekul-molekul organik seperti sisa-sisa sampah, lumpur, logam berat dan sebagainya. Dalam keadaan tertentu tindakbalas bebola lumpur adalah sangat cepat dan ia mampu bertahan selama sebulan. Malah hasilnya juga kadang-kadang dapat dilihat dalam jangka masa yang singkat, iaitu kira-kira tiga hari selepas bebola lumpur tersebut dicampakkan ke dalam sungai. Selain diaplikasikan ke atas sungai-sungai yang tercemar, bebola lumpur yang dipenuhi EM juga boleh diaplikasikan ke atas sumber-sumber takungan air yang lain seperti tasik dan kolam sebagai bahan pemusnah pencemaran yang amat berkesan. Walaupun bebola lumpur banyak diaplikasikan untuk tujuan perawatan air, namun kini penggunaannya adalah semakin meluas untuk tujuan ternakan air atau akuakultur yang bertujuan menjaga kualiti air dan memastikan kandungan mikroflora air adalah sentiasa seimbang. Dengan kaedah pengaplikasiannya yang mudah, bebola lumpur sangat sesuai dan praktikal bagi membantu menguruskan persekitaran dan ekosistem akuatik kita yang kini kian terancam dek pelbagai bahan pencemar. Dalam  usaha meningkatkan mutu bekalan air yang kita perlukan untuk pelbagai  kegunaan asas seharian kita, langkah proaktif perlu diambil agar lebih  banyak pusat penyelidikan dan pembangunan bioteknologi EM diwujudkan  dalam usaha menjadikan bebola lumpur sebagai alat pembersihan yang  memainkan peranan penting dalam aspek pengurusan, pemuliharaan dan  penjagaan kebersihan sungai di seluruh Malaysia. Langkah ini dilihat  sangat wajar memandangkan EM merupakan bioteknologi berkos rendah yang  bertindak dengan cepat dan sangat berkesan dalam memulihkan kualiti  sumber air di Malaysia. | 
