Thursday, July 15, 2010

Aplikasi Bioteknologi EM dalam Pengurusan Alam Sekitar


Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

11/09/2009 | Artikel Bahasa Malaysia
Penggunaan Bioteknologi EM (Effective Microorganism) atau bakteria baik dalam pengurusan alam sekitar merupakan satu langkah wajar dan perlu diperluaskan lagi agar usaha kerajaan untuk memastikan mutu dan kualiti alam sekitar yang kian tenat pada hari ini dapat dipulihkan terutamanya dalam merawat dan menghidupkan kembali sungai-sungai mati dan tercemar di seluruh Malaysia. Bioteknologi EM merupakan kaedah yang mula diperkenalkan dan dibangunkan oleh Prof. Teruo Higa dari Universiti Ryukyus, Okinawa, Jepun sejak 25 tahun yang lalu yang terdiri daripada tiga jenis mikroorganisma utama iaitu Bakteria Asid Laktik, Bakteria Fototrofik dan Yis.

EM adalah campuran kumpulan bakteria semulajadi yang terdapat pada komponen alam yang dihasilkan melalui proses penapaian semulajadi yang terkawal. Ia adalah gabungan bakteria-bakteria yang berperanan sendiri yang seterusnya membentuk kerjasama antara satu sama lain dan apabila diaplikasikan terhadap alam, ia akan memberi kesan dan manfaat yang menakjubkan ke atas alam sekitar, ekosistem dan juga kehidupan. Bioteknologi EM tidak melibatkan pengubahsuaian dari segi genetik mahupun kimia. Ia selamat digunakan dan telah diaplikasikan di lebih 120 buah negara di seluruh dunia. Pada hari ini, bioteknologi EM telah dihasilkan sendiri di 54 buah negara dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pertanian, penternakan, pengurusan alam sekitar dan sebagainya. Aplikasi terhadap penggunaan bioteknologi EM adalah khusus bergantung kepada keadaan dan perawatan yang tertentu. Ia merupakan benda hidup. Justeru, proses pengaktifan dan pengaplikasiannya adalah fasa terpenting dalam menentukan tahap keberkesanan penggunaannya secara menyeluruh.

Konsep EM mengetengahkan bagaimana kumpulan kultur bakteria yang berfaedah digunakan untuk tujuan mengawal mikroflora persekitaran bagi mengoptimumkan hasil, menghalang penyakit dengan merencatkan pertumbuhan bakteria patogen (bakteria yang tidak berfaedah), meningkatkan kecekapan pengambilan bahan organik dan seterusnya membantu meningkatkan biodiversiti mikrobiologi persekitaran. Penggunaan EM sangat sesuai bagi merawat air sungai yang tercemar memandangkan dengan pengaplikasiannya secara berkala akan menjadikan kehadiran mikrob yang bermanfaat adalah mencukupi dan seterusnya dapat mengawal pertumbuhan alga dengan mengurangkan kehadiran nutrien dan sentiasa mengawalnya pada paras yang minimum.

Kaedah ini sekaligus dapat meningkatkan tahap kecekapan pengambilan nutrien sungai dan menambahkan lagi mikrobiologi persekitaran air yang seterusnya secara tidak langsung dapat memelihara dan membantu ke arah persekitaran air yang lebih sihat. Selain dapat memperbaiki kualiti dan persekitaran air sungai, bioteknologi EM yang digunakan dalam rawatan air juga dapat membantu mengurangkan mendapan dan ammonia, serta dapat meningkatkan kebolehlarutan oksigen dan turbiditi.

Malah, rawatan terhadap takungan sungai dengan menggunakan kaedah bioteknologi EM turut dapat membantu meneutralkan air sungai, di mana ia bertindak sebagai klorinator semulajadi dan membantu menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air. Persekitaran EM yang wujud di dalam sungai akan mengurangkan tekanan terhadap hidupan-hidupan akuatik yang menghuninya yang merupakan salah satu faktor penting yang perlu dititikberatkan agar kelangsungan hidup haiwan-haiwan akuatik tersebut terus terpelihara untuk manfaat bersama. Dengan pengaplikasian kaedah ini secara berkala dan berterusan ke atas sungai-sungai yang tercemar, ia dapat menstabilkan mikroflora di dalam air yang seterusnya dapat mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni dan mesra alam.

Di Malaysia, kaedah bioteknologi EM telah dilaksanakan di beberapa buah negeri dan keberkesanannya telah terbukti dan menampakkan hasil yang positif. Antara salah satu negeri yang telah melaksanakan kaedah tersebut ialah kerajaan negeri Johor yang mana perlaksanaannya ialah sejak tiga tahun yang lalu bagi merawat tiga batang sungai yang tercemar teruk iaitu Sungai Segget dan sungai Stulang di Johor Bharu serta sungai Kiri di Batu Pahat. Sungai-sungai tersebut yang dahulunya telah ‘mati' hampir 20 tahun, tetapi kini telah kembali pulih dan ‘hidup' selepas langkah pembersihannya dengan menggunakan kaedah bioteknologi EM. Malah, bau busuk akibat mendapan sisa kotoran yang terdapat pada sungai-sungai tersebut juga telah dapat diatasi. Walaupun kesan penggunaan bioteknologi EM tidak dapat dilihat serta merta, namun mikroorganisma tersebut mampu menguraikankan semula mendapan yang wujud di dasar sungai dalam tempoh masa yang tertentu dan ia bertindak dari masa ke semasa dalam memulihkan sesebuah sungai yang tercemar teruk.

Bagaimanakah kaedah bioteknologi EM ini bertindak dan diaplikasikan sebagai bahan pemusnah yang amat berkesan kepada pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya dalam pengurusan dan pemuliharaan sungai dan takungan-takungan air? Sebenarnya tidak sukar untuk bioteknologi EM ini diaplikasikan. Kaedah mudah ia diaplikasikan ialah dengan menempatkan bebola lumpur (yang diperbuat daripada tanah liat yang dicampur dengan cecair EM, bahan-bahan organik dan mineral) ke dalam sungai-sungai yang tercemar untuk proses pemulihan. Bebola lumpur diformulakan adalah untuk kesesuaian kes atau persekitaran, di mana ia mudah dilontar dan tenggelam di dalam air serta bertindak secara perlahan-lahan dari dasar air yang bertujuan untuk memecahkan molekul-molekul organik seperti sisa-sisa sampah, lumpur, logam berat dan sebagainya. Dalam keadaan tertentu tindakbalas bebola lumpur adalah sangat cepat dan ia mampu bertahan selama sebulan. Malah hasilnya juga kadang-kadang dapat dilihat dalam jangka masa yang singkat, iaitu kira-kira tiga hari selepas bebola lumpur tersebut dicampakkan ke dalam sungai.

Selain diaplikasikan ke atas sungai-sungai yang tercemar, bebola lumpur yang dipenuhi EM juga boleh diaplikasikan ke atas sumber-sumber takungan air yang lain seperti tasik dan kolam sebagai bahan pemusnah pencemaran yang amat berkesan. Walaupun bebola lumpur banyak diaplikasikan untuk tujuan perawatan air, namun kini penggunaannya adalah semakin meluas untuk tujuan ternakan air atau akuakultur yang bertujuan menjaga kualiti air dan memastikan kandungan mikroflora air adalah sentiasa seimbang. Dengan kaedah pengaplikasiannya yang mudah, bebola lumpur sangat sesuai dan praktikal bagi membantu menguruskan persekitaran dan ekosistem akuatik kita yang kini kian terancam dek pelbagai bahan pencemar.

Dalam usaha meningkatkan mutu bekalan air yang kita perlukan untuk pelbagai kegunaan asas seharian kita, langkah proaktif perlu diambil agar lebih banyak pusat penyelidikan dan pembangunan bioteknologi EM diwujudkan dalam usaha menjadikan bebola lumpur sebagai alat pembersihan yang memainkan peranan penting dalam aspek pengurusan, pemuliharaan dan penjagaan kebersihan sungai di seluruh Malaysia. Langkah ini dilihat sangat wajar memandangkan EM merupakan bioteknologi berkos rendah yang bertindak dengan cepat dan sangat berkesan dalam memulihkan kualiti sumber air di Malaysia.

sumber : http://www.ikim.gov.my