Saturday, July 10, 2010

APA ITU SILAJ?

Silaj adalah makanan ternakan ruminan yang terdiri daripada bahan rufaj yang berkelembapan tinggi di antara 35 % hingga 75 % kandungan air yang diperolehi melalui proses penapaian dan disimpan dalam keadaan kedap udara (anaerobic).

Silaj sebagai salah satu sumber bekalan makanan ternakan berkualiti untuk ruminan mempunyai kelebihan berbanding dengan rumput segar dan hay kerana silaj dapat dikeluarkan sepanjang masa, proses pengeluarannya tidak bergantung kepada keadaan cuaca dan dapat dihasilkan daripada berbagai jenis bahan rufaj seperti rumput, batang jagung, pelepah kelapa sawit dan bahan-bahan lain. Silo (bekas simpanan silaj) terdiri daripada berbagai bentuk seperti bunker, stack, tower, tong plastik dan lain-lain. Faktor yang penting ialah bekas yang digunakan seharusnya praktikal dari segi pengendalian dan mesti dalam keadaan kedap udara.

PRINSIP DAN KEPERLUAN ASAS MEMBUAT SILAJ
Prinsip utama dalam membuat silaj ialah memastikan keadaan yang kedap udara dan kandungan karbohidrat larut air yang mencukupi. Keadaan kedap udara diperolehi dengan memadatkan bahan tanaman dengan segera bagi mengelakkan berlakunya proses pereputan bahan hijau dan separa hijau yang memerlukan udara.

Foder yang mempunyai bahan kering lebih daripada 35 % akan menyebabkan keadaan silaj menjadi kurang mampat dan ini akan menggalakkan pertumbuhan kulat. Bagi foder yang terlalu lembap (kurang 25% bahan kering) pula akan menghasilkan silaj yang masam, disamping kehilangan air dan nutrien yang banyak. Keperluan air ialah 65 – 75 % (25 – 35% bahan kering). Masa yang sesuai untuk mendapatkan kandungan air pada peratus tertentu bergantung kepada jenis tanaman. Foraj jagung perlu dipotong semasa berumur 75 hari manakala rumput gajah pula hendaklah dipotong pada umur tidak melebihi 40 hari.

KAEDAH MEMBUAT SILAJ

Foder untuk silaj hendaklah dipotong pendek di antara 3 – 15 cm supaya mudah dipadatkan. Foder di dalam silo hendaklah dipadatkan dengan secepat mungkin dalam masa dua hari selepas dipotong bagi menghindarkan udara daripada terperangkap. Keadaan ini mengurangkan pernafasan sel dan aktiviti enzim. Foder yang telah dipadatkan hendaklah diperam selama sebulan bagi menghasilkan silaj yang baik. Silaj yang baik boleh disimpan bertahun-tahun lamanya jika tidak diganggu.

Bahan silaj yang mengandungi kurang karbohidrat perlu ditambah dengan asid bukan organik (sulfuric, hidroklorik, fosforik) atau boleh juga menggunakan asid organik (formic, propionik) tetapi bahan-bahan tersebut sangat mahal. Untuk mengurangkan kos pengeluaran silaj, ianya boleh dicampur dengan jenis-jenis karbohidrat yang boleh di dapati dengan lebih murah seperti molas dan bijirin.

Semasa proses pemeraman perubahan bahan kepada produk tertentu dalam silaj akan berlaku. Secara am, karbohidrat dalam bahan hijau/segar yang diperam ditukarkan menjadi asid laktik atau asetik. Proses penukaran dilakukan oleh bakteria anaerobik dengan bantuan haba yang dihasilkan oleh sel tanaman yang masih hidup. Asid-asid yang dikeluarkan, terutamanya asid laktik akan merendahkan pH dan ini menyebabkan proses biokimia yang terjadi pada bahan silaj terhenti. Dengan ini bahan yang diperam akan dapat disimpan dengan baik dan kualiti pemakanannya dapat dikekalkan.

KENAPA SILAJ DIPERLUKAN?
Kefahaman mengenai asas keperlan ternakan ruminan terhadap unsur asid lemak berwap (volatile fatty acid) mendorong pengusaha untuk menjalankan aktiviti pembuatan silaj. Tenaga yang diperlukan oleh ternakan ruminan diperolehi dalam bentuk asid lemak berwap daripada jenis asid asetik dan propionik dan bukan glukos seperti ternakan monogastrik. Asid lemak berwap ini digunakan oleh ruminan untuk tumbesaran, penghasilan susu dan lain-lain fungsi metabolik.

PEMERAMAN SILAJ

Silaj boleh diperam di dalam silo atau tanpa silo. Silo merupakan struktur kedap udara atau separa kedap udara yang digunakan untuk memeram silaj.

Faktor utama kerosakan silaj adalah disebabkan kehadiran udara di dalam silo. Udara menyebabkan bahan silaj rosak akibat tindakan bakteria aerobik. Bila kerosakan berlaku, silaj tersebut tidak boleh lagi digunakan sebagai makanan ternakan kerana tercemar oleh kulat, baunya tidak menyenangkan dan mendatangkan mudarat kepada ternakan.

Kualiti silaj dapat diukur berdasarkan kepada beberapa parameter. Silaj dianggap rosak bila warna menjadi kehitaman serta berbau tengik. Nilai pH yang rendah menunjukkan tahap fermentasi asid laktid dalam silaj yang baik. Nilai pH antara 3.8 hingga 4.2 adalah silaj yang berkualiti baik manakala pH melebihi 4.5 dianggap kualiti kurang baik. Nilai pH melebihi 5 adalah dianggap rosak.

Sehingga kini teknik-teknik penghasilan silaj dengan menggunakan tower, stack dan bunker silo tidak sesuai dipraktikkan di negara ini. Jenis-jenis silo tersebut menghasilkan peratusan silaj rosak yang tinggi. Masalah utama yang dihadapi ialah cara pemampatan serta system penutupan silo yang tidak sempurna yang menyebabkan keadaan aerobic. Disamping itu jenis silo yang digunakan ini, tidak boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Bagi mengelakkan udara terperangkap di dalam silo, bahan silaj mesti dipadatkan semasa diisi ke dalam silo. Bila bahan diisi dengan padat, udara terperangkap berkurangan. Semakin kurang udara terperangkap, semakin baik kualiti silaj yang akan dihasilkan.

SILAJ TONG PLASTIK
Penggunakan tong plastik sebagai silo mula diterima oleh penternak kerana mudah dikendalikan. Tong plastik adalah paling sesuai digunakan berdasarkan saiz dan beratnya yang mudah dikendalikan, kualiti bahan plastkc yang mampu bertahan mengikut cuaca persekitaran, boleh digunakan berulang kali, harga lebih murah dan mudah diperolehi. Pada masa ini, teknik ini telah diterima pakai dan digunakan oleh penternak di Malaysia.

Penghasilan silaj menggunakan tong plastik sebagai silo, adalah dengan mendapatkan bahan silaj ke dalam silo, menggunakan tenaga manusia, di mana seseorang pekerja perlu memijak bahan silaj sehingga padat. Semakin kuat pijakan semakin padat bahan silaj dihasilkan. Biasanya kualiti silaj yang dihasilkan dengan cara ini akan mengalami sedikit kerosakan kerana tenaga pijakan manusia tidak menjamin udara di dalam silo dikeluarkan sepenuhnya. Memampatkan bahan silaj melalui pijakan manusia juga menggunakan banyak tenaga dan aktiviti ini amat meletihkan dan kurang praktikal. Akibatnya kualiti silaj yang dihasilkan sangat terhad dan kurang berkualiti.

Bagi mengatasi masalah memampatkan bahan silaj di dalam tong plastik, JPH telah merekacipta sebuah mesin pemampat mekanikal yang merupakan kombinasi daripada alat pemampat, alat penyedut udara serta tong plastik yang diubahsuai. Mesin tersebut terdiri daripada alat pemampat yang digerakkan oleh motor eletrik bagi menghasilkan tekanan kepada pam hidrolik. Satu plat dipasang di hujung pam untuk menekan bahan silaj supaya lebih padat. Plat ini boleh ditukar bergantung kepada saiz tong plastik yang digunakan.

Lazimnya apabila bahan silaj diisi penuh, ia selalunya akan terkeluar melebihi paras muka tong plastik. Untuk menutup tong plastik dalam keadaan ini, kaedah menggunakan tangan adalah sangat sukar. Dengan menggunakan mesin berkenaan bahan silaj boleh diisi dengan kuantiti yang banyak kerana mampatan ini dapat menjimatkan jumlah tong yang digunakan dan udara di dalam tong dapat diminimumkan. Selain daripada itu, penutup tong dapat ditutup dengan kemas dan seterusnya menjamin tiada kebocoran udara agar proses fementasi silaj berlaku dengan sempurna.

Mesin ini juga dilengkapi dengan penyedut udara yang direka khusus bagi menyedut udara daripada tong plastik yang diubahsuai dengan memasang injap pada penutup tong.

Mesin pemampat mekanikal berpotensi besar untuk dikomersilkan kerana mempunyai ciri-ciri kecekapan tinggi dimana kerja-kerja menghasilkan silaj menjadi lebih mudah, cepat dan kualiti silaj yang dihasilkan adalah terjamin.

Sumber:JPH
Akan Datang...Jenis-jenis Silaj dan pembuatannya.


MEMBUAT SILAJ ATAU RUMPUT PERAM DAN PEMPROSESAN BAJA ORGANIK
sumber : http://bakteriabaik.blogspot.com

Kos makanan (pellet) yang mahal menjadi beban kepada peternak baru, jadi,anda boleh membuat makanan tambahan pada ternakan anda seperti silaj atau rumput peram. Rumput di cincang halus, EM @probiotik, Gula Merah dan Air dicampur sekali selepas 24 jam ianya sudah boleh dimakan dan ianya juga boleh tahan lama.

Pendapatan tambahan bagi peternak kambing, lembu, ayam daging dengan membuat baja Organik. Tidak perlu jual kepada pomborong tahi atau di bakar. Lebih baik hasilkan baja organik untuk dijual atau guna sendiri bagi yang mempunyai tananam.

Biar EM bekerja untuk anda.Dengan EM, patogen-patogen,bau dan penguraian akan terkawal dan kompos akan lebih cepat siap.



PEMBUATAN SILAJ
sumber : http://integratedfarm.blogspot.com/

MAKNA SILAJ

Silaj merupakan bahan makanan ternakan hasil daripada pemeraman foder basah atau bahan sampingan pertanian yang disimpan di tempat yang kedap udara.Foder yang berkelembapan tinggi (65-75%) diperam dalam keadaan tanpa udara (anaerobik) dalam jangkamasa yang lama bagi mengelakkan kerosakan.

MEMBUAT SILAJ

Tujuan utama pengeluaran silaj adalah untuk menyimpan foder atau bahan makanan ternakan tanpa mengurangkan mutu pemakanan dan silaj yang dihasilkan digunakan terutama ketika kekurangan foder atau bahan makanan ternakan terutama di musim kemarau atau banjir.

BAHAN UNTUK MEMBUAT
Rumput• Semua jenis rumput terutama rumput gajah
Lain – lain• Bahan sampingan pertanian seperti pelepah sawit dan batang (stover) jagung

PROSPEK MEMAJUKAN SILAJ
Sebab-sebab:-
• Penternak semakin progresif dan komersial
• Kekurangan masa dan buruh memungut foraj atau mengembala ternakan
• Tekanan ke atas kawasan ragut akibat proses urbanisasi
• Kesediaan bahan sampingan pertanian yang banyak
• Kewujudan foder yang bermutu tinggi
• Keupayaan silaj dikomersialkan

KAEDAH PEMBUATAN SILAJ SEBAGAI SUMBER MAKANAN TERNAKAN

Rumput dipotong pendek antara 3-15cm keratan dengan menggunakan mesin khas ’CHOPPER’.
Rumput perlu dilayukan – bahan kering 30% adalah terbaik.
Pengisian foder dan pemampatan dilakukan secepat mungkin, Penutupan hendaklah dilakukan segera.

Ada beberapa jenis silo (bekas) yang boleh digunakan:-
• Silo Palung (kerek)
• Silo Tong Drum Plastik
• Silo Bungker
• Silo Wrap

Pengurusan silaj semasa memberi makan kepada ternakan:-
• Silo yang baik bersaiz sederhana
• Apabila silo dibuka, ianya patut dihabiskan pada hari itu juga
• Silaj yang rosak berwarna kehitaman/berkulat.

PROSES SILAJ
Fasa 1
Rumput dimasukkan ke dalam silo
• Respirasi berterusan
• Oksigen digunakan
• CO2 dan haba dihasilkan
• Suhu meningkato

Fasa 2
asetik dikeluarkan
• pH turun dari 6.0 ke 4.2o

Fasa 3
• Asid laktik di hasilkan
.Asid asetik menurun

Fasa 4
• Pengeluaran asid laktik berterusan
• Suhu turun
• Aktiviti bakteria terhenti pada pH 4.

FAKTOR YANG DIPERLUKAN UNTUK SILAJ BERKUALITI
• Keadaan kedap udara untuk menjadi persekitaran anaerobik
• Kelembapan foraj 65-75%
• Cukup karbohidrat larut (>3%)
• Bahan boleh dimampat untuk menyingkir udara
• Bahan tidak tercemar dengan benda asing seperti tanah.

JUMLAH SILAJ YANG PERLU DIBERIKAN KEPADA SETIAP EKOR TERNAKAN
.Setiap hari ternakan memerlukan pastura atau foder segar yang bermutu sebanyak 7% daripada berat badan mereka ATAU 3% bahan kering. Bagi mengurangkan pembaziran silaj perlu diberi tidak melebihi keperluan dan dimasukkan dalam tempat makanan yang sesuai.

PRINSIP PENYIMPANAN SILAJ
• Foraj disimpan dalam persekitaran pH rendah(4.2) dan anaerobik di mana proses biokimia dan aktiviti bakteria pengurai aerobik serta kulat akan terhalang.

KELEBIHAN SILAJ
• Lebih selera daripada rumput kering
• Tidak bergantung kepada cuaca
• Boleh disimpan lebih lama tanpa kerosakan
• Tidak mudah terbakar
• Kurang ruang penyimpanan

KESIMPULAN
• Kejayaan dalam pengeluaran silaj membantu dalam penyelesaian pemakanan ternakan yang semakin meningkat.
• Pengeluaran silaj yang efisien mengurangkan kos makanan.
• Kesediaan bahan sampingan pertanian yang banyak membantu pengeluaran silaj.
• Secara am silo mestilah kedap udara.
• Pengendalian bahan silaj sangat perlu dalam pemilihan silo.
• Silaj mampumemainkan peranan dalam menampung keperluan makanan ternakan di Malaysia.

CONTOH CARA PEMBUATAN SILAJ NAPIER DAN JAGUNG

SILAJ RUMPUT NAPIER
1. Rumput napier 160 batang - 80kg ( 1 tong drum)
2. Molasses - 800 gram
3. Garam - 800 gram
4. Urea – 400 gram
5. Air – 3.2 kg
6. Additif - EM atau Laktos atau EIMO ~ 1 liter (setelah di campur air – cth:-100ml laktos, 900ml air).

Kadar peratusan:-
1. Molasses – 1%
2. Garam – 1%
3. Urea – 0.5%
4. Air – 4%
5. Additif – EM atau Laktos atau EIMO – 1%.

Cara- cara:-
1. Cincang/mesin rumput napier.
2. Masukkan dan mampatkan ke dalam bekas kedap udara.
3. Siram dengan larutan molasses/garam/uraea/air/laktos.
4. Tutup rapat (kedap udara).
5. Peram 21 hari

SILAJ JAGUNG
1. Pokok jagung 420 batang – 70kg ( 1 tong drum)
2. Molasses - 700 gram
3. Garam - 700 gram
4. Urea – 350 gram
5. Air – 2.8 kg
6. Additif – EM atau Laktos atau EIMO ~ 1 liter (setelah di campur air – 100ml laktos, 900ml air).

Kadar peratusan:-
1. Molasses – 1%
2. Garam – 1%
3. Urea – 0.5%
4. Air – 4%
5. Additif – EM atau Laktos atau EIMO – 1%.

Cara- cara:-
1. Cincang/mesin rumput napier
2. Masukkan dan mampatkan ke dalam bekas kedap udara.
3. Siram dengan larutan molasses/garam/uraea/air/additif.
4. Tutup rapat (kedap udara).
5. Peram 21 hari