Saturday, August 9, 2014

Kepentingan usahawan bioteknologi kepada Islam

Cetak

Ditulis oleh Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh. Posted in Utusan Malaysia

Ramai yang menyatakan bahawa banyak hasil penyelidikan dalam bidang bioteknologi misalnya yang hanya menjadi bahan rujukan di dalam jurnal-jurnal ilmiah semata-mata. Tidak banyak hasil penyelidikan ini yang dikomersialkan.
Jika pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan bioteknologi gagal dilaksanakan, maka bidang ini tidak akan dapat menyumbang ke arah pengukuhan K-ekonomi. Beberapa sebab dikenal pasti sebagai punca hasil penyelidikan dan pembangunan bioteknologi gagal dikomersialkan.
Pertama, kebanyakan saintis dan teknologis di dalam bidang bioteknologi tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran di dalam selok-belok dunia perniagaan dan keusahawanan. Agak tidak wajar dan tidak adil untuk mengharapkan mereka terjun ke dalam dunia perniagaan sekiranya mereka tidak mempunyai kepakaran sebagai usahawan.
Oleh itu, satu pendekatan yang sesuai ialah untuk menemukan golongan saintis dan teknologis ini dengan golongan usahawan yang mempunyai naluri peniaga. Walau bagaimanapun, sesetengah peniaga dan usahawan tidak mahu menerokai bidang keusahawanan bioteknologi ini kerana ia tidak menjanjikan pulangan dalam jangka masa yang singkat.
Perkara inilah yang menyumbang kepada punca kedua mengapa hasil penyelidikan dan pembangunan bioteknologi gagal dikomersialkan. Tidak seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyediakan pulangan dalam jangka masa yang agak singkat, bidang bioteknologi memerlukan masa bertahun-tahun untuk proses pembangunan, apa lagi proses pengkomersialan.
Untuk mereka cipta sejenis ubat misalnya mengambil satu jangka masa yang lama. Ubat ini mesti dipastikan keberkesanan dan keselamatannya terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Hakikatnya kepada seorang usahawan, masa adalah wang. Maka tidaklah menghairankan apabila kita mendapati ramai yang teragak-agak untuk terlibat di dalam bidang pengkomersialan hasil bioteknologi kerana faktor masa ini.
Jalan penyelesaian bagi keadaan ini ialah untuk mewujudkan satu generasi usahawan yang baru yang dikenali sebagai biousahawan. Golongan ini adalah golongan yang terlibat secara langsung dengan penyelidikan dan pembangunan bioteknologi, dan pada waktu yang sama mempunyai kemahiran di dalam bidang keusahawanan. Golongan biousahawan ini bolehlah dianggap sebagai generasi usahawan alaf baru yang akan menjadi penggerak utama K-ekonomi.
Namun demikian, untuk berjaya di dalam bidang keusahawanan bioteknologi ini, golongan biousahawan perlulah mengenal pasti peluang dan ruang yang memberikan kelebihan kepada mereka. Mereka tidak mampu untuk meniru bulat-bulat apa yang telah dilakukan oleh orang lain.
Tidak seperti pisang goreng, pembangunan bidang bioteknologi tidak boleh ditiru untuk dikomersialkan oleh syarikat lain. Sekiranya satu-satu jenis ubat misalnya telah dipatenkan dan dimiliki oleh sebuah syarikat, maka syarikat lain tidak boleh sama sekali meniru ubat tersebut. Jika ini dilakukan, maka syarikat yang meniru tadi dianggap telah mencuri harta intelektual syarikat yang menghasilkan ubat yang asal tadi.
Dalam konteks Malaysia, seperti yang telah diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita tidak mampu untuk menjadi penggiat dalam banyak bidang tanpa menguasai apa-apa bidang langsung. Atas sebab inilah maka dua bidang telah dikenal pasti sebagai bidang yang menjadi kekuatan untuk Malaysia, iaitu bioteknologi pertanian dan penerokaan produk semula jadi.
Bidang bioteknologi pertanian sebenarnya telah bertapak lama di negara kita menerusi kajian yang dijalankan ke atas tanaman-tanaman seperti getah dan kelapa sawit. Malah telah diakui bahawa penyelidikan yang dijalankan di Malaysia jauh lebih maju berbanding negara asal tanaman-tanaman tadi.
Walau bagaimanapun, masih banyak ruang yang belum diterokai di dalam bidang bioteknologi pertanian ini. Justeru, dengan mengaplikasikan bioteknologi kepada sektor pertanian, ia mampu menggerakkan semula sektor ini sebagai penyumbang utama pembangunan ekonomi negara.
Dalam bidang penerokaan produk semula jadi pula, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai hasil kekayaan semula jadi yang melimpahruah. Kepelbagaian bio ini membuka ruang dan peluang kepada biousahawan untuk menerokai kemungkinan mengkomersialkan hasil-hasil semula jadi yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada bumi Malaysia.
sumber: www.jakim.gov.my